Tuesday, 9 April 2013

Bubur atau nasi air



Minggu Ketiga (5)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Entri yang akan saya muatkan pada kali ini adalah ilmu yang baru bagi saya. Sedang saya merenung muka komputer riba ini sambil mencari-cari idea untuk menghasilkan diari entri yang baru, saya dikejutkan dengan panggilan sahabat saya. Saya keluar dari bilik dan berlakunya perbualan tersebut.

Saya                : Kenapa Sha?
Sha                  : Sal, jom makan sekali. Ni, Akma ada beli nasi air.
Saya                : Nasi air? ( mendengar dengan penuh tanda tanya)
Sha         : Haa. Mesti tak pernah dengar nasi air sebelum ni kan? Nasi air tu sama                              dengan bubur dan moi. Pertama kali Sha dengar pun, Sha tak faham selepas itu, Akma terangkan yang nasi air tu sama maksudnya dengan bubur nasi atau moi. Istilah nasi air adalah istilah yang menjadi kebiasaan bagi negeri di Kelantan.
Saya                : Owh, begitu. Barulah faham. ( sambil tersenyum). Kalau di kampung Sal, di                       bahagian sebelah utara, kebiasaan kami menggunakan istilah bubur atau  "bubuq”.
Sha                  : Tapi Sal, nasi air ini ada bezanya dengan bubur. Walaupun nampak serupa                           tetapi hakikatnya ada juga perbezaannya. Nasi air ini tidak direbus sekali berbanding bubur. Air rebusan nasi air di rebus dengan daging dan diasingkan.
Saya                : Wah, dapat info yang baru ni. Boleh masukkan dalam sosiolinguistik..Terima                      kasih Sha. ( sambil tersenyum).

Kesimpulannya : Setiap negeri mempunyai istilah yang berlainan tetapi membawa maksud yang sama. Berlainan tempat dan jarak bukan menjadi satu faktor yang menyebabkan sesuatu bahasa terhad penggunaannya.

Osman Baku ( SMS)



Minggu Ketiga (4)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Pada kali ini, saya akan mengetengahkan satu lagi isu yang berkaitan dengan bahasa dan masyarakat kita. Anda semua mesti pernah dengar rancangan televisyen yang berjudul “ Osman Baku”.
Bagi sesiapa yang pernah mendengar tetapi belum berkesempatan untuk menonton rancangan ini, segeralah menontonnya. Ini kerana dapat dinafikan rancangan ini amat berguna kepada masyarakat Melayu kita yang menggunakan bahasa Melayu sebagai wadah dan bahasa perantaraan dalam kehidupan seharian. Bertepatan dengan slogan kerajaan iaitu “ Bahasa Jiwa Bangsa.”
Cuba anda lihat sedutan video ini di laman tersebut:


Dalam episod tersebut, Osman telah mendapat satu mesej pesanan ringkas dari anaknya iaitu:
“ Slm bah. Sy blk lmbt sket. Kuar dgn kwn. Ok bah? Slm.”
Oleh sebab beliau tidak memahami keseluruhan perkataan yang ditulis, maka beliau telah merujuk kamus dan mencari makna “ kuar” yang dimaksudkan anaknya itu.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat :
kuar III; anak ~ ark anak yg tidak sah, anak haram, anak gampang.
Situasi tersebut menyebabkan Osman telah tersalah faham. Beliau beranggapan bahawa anak gadisnya membuat perkara yang tidak bertentangan dengan agama. Setelah anaknya pulang, anaknya menerangkan kembali maksud mesej yang diberinya. Barulah Osman faham akan maksud tersebut.
Pengajaran yang dapat dikaitkan dengan bahasa kita ialah kita perlulah memartabatkan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa SMS pada zaman sekarang telah menjadi salah satu budaya yang seakan menghakis sedikit demi sedikit kedaulatan bahasa kebanggaan kita. Penggunaan SMS bukan sahaja telah menukarkan maksud perkataan malah telah mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Contohnya,
“ U nk g mane? I wait u kat sini erk.”
Di samping itu, seharusnya kita jadikan watak Osman sebagai idola bahasa kita. Walaupun orangnya sudah berusia, namun semangat tinggi yang ditonjolkan Osman iaitu mempertahankan penggunaan bahasa Melayu dalam pertuturan seharian amat membanggakan. Watak tersebut mendidik golongan muda untuk terus mencontohi usaha-usaha memperjuangkan bahasa kita.
Sekian…Renung-renungkan ;-)

Alif Yaa Mim- Buaya



Minggu Ketiga (3)
“ Pak Mat, sila sebut perkataan ini.”
“ Alif Yaa Mim, buaya”
“ Bukan buaya. Alif Yaa Mim, ayam.”
“ Owh ayam. Pak cik ingat buaya.”

Anda semua pernah dengar  dialog di atas? Di mana ya?  Mesti sekarang ada sedang terfikir-fikir cerita atau filem apakah dialog ini disampaikan.
Mari kita lihat bersama-sama sedutan video dalam Filem Pendekar Bujang Lapok dalam  : 



Dalam filem ini, banyak bahagian cerita yang menarik, lucu dan nilai pengajaran yang banyak memberi manfaat kepada kita. Begitu uniknya filem Melayu jikalau dibandingkan dengan filem-filem yang lain. Dalam sedutan filem ini, saya ingin mengetengahkan  perbezaan antara tahap pendidikan bagi masyarakat zaman dahulu dengan masyarakat zaman sekarang. 
Ramlee, Sudin dan Aziz berhadapan dengan situasi yang pelbagai kerenah iaitu golongan tua yang tidak tahu langsung membaca, tidak mengenal huruf serta mengenal huruf tetapi tidak tahu membaca. Di sini, menunjukkan bahawa perbezaan masyarakat dahulu dan masyarakat sekarang dari  tahap pendidikan melalui pembacaan dan kadar celik huruf.
Pada zaman dahulu tahap pendidikan bagi masyarakat Melayu berada di tahap yang rendah berbanding kaum-kaum yang lain. Kebanyakan orang Melayu yang tinggal di kawasan pedalaman serta kampung-kampung lebih mementingkan pekerjaan dan aktiviti mencari rezeki. Namun setelah kemerdekaan, masyarakat Melayu mula membuka fikiran mengenai kepentingan ilmu dan tahap pendidikan dalam kehidupan.
Dalam sedutan video yang ditayangkan, masyarakat Melayu pergi ke sekolah yang dibuka untuk semua golongan dan peringkat umur. Mereka cuba untuk bangun dan berusaha untuk memenuhi ilmu di dada. 













Saturday, 30 March 2013

~Cebet dan Kelek~

Minggu Ketiga (2)

Hari ini saya nak memperkenalkan kepada anda dua perkataan yang telah lama wujud tetapi jarang digunakan dalam masyarakat orang Melayu terutamanya golongan remaja pada masa kini.
Perkataan tersebut ialah cebet dan kelek. Perkataan ini merujuk kepada cara seseorang manusia membawa barang dengan menggunakan tangan tetapi keadaannya berbeza. Ramai orang yang terkeliru dengan penggunaan perkataan ini dari segi konteks memahami maksud ayat.
Nak tahu apakah perbezaannya?
Merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat :
Cebet = (cébét); mencebet membawa sesuatu dengan lengan diluruskan ke bawah, membimbit:    tangannya ~ sebuah baldi.
Kelek  =  I ketiak mengelek mengangkat (membawa) di bawah ketiak, mengepit: pelakonnya                 bernyanyi
Sudah dapat tahu perbezaannya? Secara mudah, cebet dan kelek mempunyai satu perbezaan yang umum iaitu gaya pegangan sesuatu barang tersebut berlainan. Cebet menggunakan tangan yang lurus manakala kelek lebih menggunakan bahagian ketiak untuk mengepit,.
 Seronok kan belajar perkataan baru? Maka sama-samalah kita menggunakan dan menghidupkan kembali “roh” perkataan ini.
Sekian…


Thursday, 28 March 2013

mararau


Minggu Ketiga (2)

Anda pernah dengar perkataan ini sebelum ini?
“mararau”
Mesti tak ramai yang pernah menjumpai dan mendengarnya kan dalam pertuturan seharian.
Pada kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda mengenai makna perkataan mararau. Untuk pengetahuan semua, mararau bermaksud makan sambil merayau-rayau. Mesti terkejut kenapa mararau bermaksud sedemikian? Sebenarnya mararau adalah perkataan yang sudah  lama wujud tetapi perkataan tersebut jarang sama sekali digunakan oleh masyarakat kita.
Bagi saya juga, ia adalah sesuatu pengetahuan yang baru. Saya mengetahuinya daripada seorang sahabat saya yang mengikuti kelas semantik pada semester ini. Sedang asyik berbual-bual, terlintas dalam fikiran sahabat saya perkataan mararau ini. Lantas, kami berkongsi ilmu mengenainya.
Kesimpulannya, kita haruslah mengaplikasikan perkataan-perkataan yang jarang digunakan walaupun ia jarang wujud dalam penggunaan dan pertuturan dalam kehidupan seharian kita. Ini bagi mengelakkan lupusnya perkataan tersebut di mata masyarakat orang Melayu kita.

Tuesday, 26 March 2013

Bohla...


Minggu Ketiga (1)
 ~ Bohla~

Gembira saya bila mendengar kembali kisah yang berlaku kepada teman serumah saya apabila mereka menceritakan kembali apa yang berlaku pada suatu hari….
Kisahnya seperti ini….
Pada tengah hari tersebut, tiga orang sahabat saya berkumpul bersama-sama untuk menikmati makan tengah hari. Lauk-pauk yang ada, semuanya dibeli di kafe. Setelah semuanya terhidang, perut yang sedang lapar mula mengeluarkan bunyi-bunyinya. Bertambah-tambahlah selera mereka untuk dimakan.
Maka, ketiga-tiga sahabat ini mula menjamu selera bersama masak pedas ikan keli, masak lemak tempoyak, sambal terung dan tak lupa juga sambal belacan serta ulam-ulaman. Nak dijadikan cerita,

“ Sedapnya buh kicap ni, hang nak ke?” tanya si A.
“ Bohla,” jawab si B.
Si A pun meletakkan kicap ke dalam pinggan si B.
“ Bohla, bohla,” berkata lagi si B kepada si A..
Mendengar Si B bercakap seperti sedemikian, Si A lagi banyak meletakkan kicap ke dalam pinggan si B.
“ Bohla…bohla…,” kata si B berulang-ulang dengan niat si A berhenti meletakkan kicap ke dalam pinggannya.
Melihat situasi sedemikian, si C terkejut dan menyampuk,
“ Cukup, cukup,” kata si C kepada si A.
Si A pun berhenti dan kelihatan terpinga-pinga. Melihat dalam pinggan si B, nasi yang berwarna putih pada asalnya sudah bertukar menjadi hitam. Mereka pun ketawa bersam-sama.
Begitulah ceritanya…Di sebalik cerita ini, terdapat maksud tersirat yang boleh kita bincangkan bersama-sama. Antaranya:
  • ·         Tidak semestinya satu perkataan itu hanya membawa satu maksud.
  • ·         Bunyi perkataan yang sama tidak semestinya membawa maksud yang sama.
  • ·         Makna sesuatu perkataan bergantung pada dialek penutur setempat.



Pejuang Bahasaku


Minggu Ketiga (1)



Siapa yang tidak mengenali tokoh di atas?
Siapa yang tidak pernah mendengar nama Lim Swee Tin?
Nama dan tokoh ini amat banyak menyumbangkan jasa dan  keringat yang amat bernilai buat negara terutama dalam bidang bahasa. Seperti tokoh-tokoh bahasa yang lain, beliau juga adalah salah seorang tokoh bahasa yang bukan orang Melayu tetapi dapat bertutur dengan fasih dalam bahasa Melayu. Mari kita kenali beliau dengan lebih mendalam.


Nama diberi Lin Swee Tin dilahirkan di Bachok, Kelantan pada 26 September 1952. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tawang, Bachok, Sekolah Menengah Hamzah, Machang dan mendapat jawatan sebagai seorang guru sandaran di Sekolah Kebangsaan Kampung Pek, Machang, Maktab Perguruan Persekutuan, Bukit Gelugur, Pulau Pinang dan melanjutkan pelajaran di Universiti Pertanian Malaysia.
Sumbangan beliau sebagai seorang pengarang di dalam dunia kepenyairan amat membanggakan. Beliau banyak melibatkan diri dalam mendeklamasikan puisi, memberi ceramah penulisan kreatif di dalam dan luar negara, menghasilkan cerpen, novel dan karya-karya berunsurkan kesusasteraan.
Antara karya beliau yang telah diterbitkan, “Eva” (1981), “Akrab” (1985), “Menyusur Musim” ( 1991), “Seorang Anak Kecil” dan sebagainya.
Banyak yang boleh kita ceritakan mengenai tokoh bahasa yang kita kenali kagumi ini. Melalui cerita Dr. Lim Swee Tin ini, saya ingin menegaskan bahawa walaupun beliau seorang yang berbangsa Cina, namun jati diri serta semangat Melayu dalam dirinya amat utuh dalam memartabatkan bahasa Melayu.
Cuba kita fikir sejenak, adakah dengan bertutur dalam bahasa Melayu sahaja sudah cukup untuk menyatakan diri kita seorang yang cinta akan bahasa Melayu?
Adakah perlu kita menggoyang kaki sahaja dan menunggu usaha orang lain untuk memartabatkan bahasa Melayu kita?
Renung-renungkan ;-)

Sunday, 24 March 2013

Papan Tanda Jawi


Minggu Kedua (4)



Adakah papan tanda tersebut sering kali anda jumpa di persekitaran kawasan tempat tinggal anda?
Semestinya jarang sekali untuk kita melihat papan tanda yang dipamerkan di sekeliling kita menggunakan tulisan jawi. Kebanyakannya menggunakan tulisan rumi yang sudah menjadi kebiasaan kita dalam kehidupan seharian.
Namun, kita yang sedang dilanda arus kemodenan ini seharusnya tidak boleh melupakan tulisan jawi iaitu tulisan yang pernah dijadikan sebagai salah satu medan perhubungan atau wadah penyebaran ilmu secara meluas dalam masyarakat orang Melayu pada suatu masa dahulu dan ketika zaman kegemilangan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca.
Pada masa kini, kita boleh lihat penggunaan tulisan jawi amat jarang digunakan dalam penulisan mahupun dalam pentadbiran di negara kita. Disebabkan kurangnya keprihatinan terhadap penggunaan tulisan jawi ini, maka golongan remaja sekarang sudah kurang didedahkan mengenai cara pembacaan dan penulisan tulisan jawi tersebut.



Namun, di sebalik penularan fenomena ini, terselit jua segelintir usaha dari pelbagai pihak yang ingin memartabatkan dan mengekalkan tulisan jawi ini sebagai suatu khazanah negara yang amat bernilai di mata dunia sehingga sekarang.
Antara usaha yang dilakukan oleh pihak berkenaan seperti  penggunaan tulisan jawi di dalam akhbar-akhbar tempatan, mengeluarkan buku dalam tulisan jawi bagi golongan kanak-kanak serta menerapkan pengajaran jawi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Usaha sedemikian amat membantu dalam mengekalkan tulisan jawi ini sehingga zaman akan datang.
Oleh yang demikian, kita sebagai pengganti generasi yang seterusnya haruslah memelihara dan memulihara keistimewaan tulisan jawi ini agar semangatnya hidup sebagai tulisan Al – Quran.

~Kak atau Makcik~


Minggu Kedua (3)

Setiap hari kita berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai tingkat umur serta status sosialnya. Golongan yang terlibat adalah dari yang muda sehingga ke peringkat tua. Setiap peringkat umur mempunyai cara dan nama panggilan yang berbeza bagi menunjukkan tanda hormat dan sopan santun adab orang Melayu. Cerita yang ingin saya kongsi ini mempunyai kaitannya dengan bahasa dan masyarakat orang Melayu kita.

Beginilah ceritanya...

Setelah selesainya kuliah pada petang tersebut,  dua orang sahabat pun  berjalan pulang dari kelas mereka. Dalam perjalanan tersebut,  mereka melihat sebuah gerai yang menjual keropok lekor. Dengan segera, mereka mengambil keputusan untuk singgah sebentar untuk membeli makanan di situ.
“ Kak, ada apa yang dijual di sini?
 “Ada pisang goreng, keropok lekor, bebola ikan adik pilihlah yang mana nak”, kata seorang wanita yang usianya dalam lingkungan 25 tahun ke atas.
Bagi saya keropok lekor ni dua ringgit ye makcik”, kata seorang sahabat itu.
Seorang sahabatnya terkejut dengan panggilan “makcik” yang ditujukan kepada wanita tersebut . Lantas, sahabat yang mendengarnya itu, terus berkata,
“ Kak, saya pula nak pisang goreng ni seringgit” sambil tersenyum.
Wanita itu pun menjawab dengan  penuh sopan. “ Baiklah, sebentar ye.”
Setelah selesai membungkus pisang goreng dan keropok lekor, wanita tersebut menghulurkannya kepada kedua-dua sahabat tersebut sambil berkata,
“ Nah, ni pisang goreng dan keropok lekor. Semuanya tiga ringgit. Terima kasih ye. Jual”.
“Sama-sama. Beli ye kak”, jawab mereka.
Kesimpulannya: Kadang-kadang sesetengah situasi dan keadaan sukar untuk kita tentukan dari segi lingkungan usia dan panggilan statusnya. Jadi, kita seharusnya bijak menyesuaikan panggilan namanya berdasarkan pengetahuan yang kita sedia ada dan keadaan persekitaran.

Renung-renungkan;-)



Saturday, 16 March 2013

"giler"



Minggu Kedua (2)

Sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat Melayu menggunakan bahasa slanga dalam kehidupan seharian. Menurut Kamus Dewan, bahasa slanga ialah kosa kata yang tidak baku, tidak standard, berubah-ubah dan secara umum berbeza dengan kosa kata lainnya. Slanga kerap digunakan oleh golongan remaja atau kelompok sosial tertentu untuk berkomunikasi sesama mereka dan hanya difahami oleh kelompok itu sahaja.

Sebagai contoh situasi yang telah memberi saya idea untuk saya coret pada kali ini ialah, contoh perkataan slanga iaitu “ giler”. Kini, penggunaan perkataan “giler” semakin menjadi-jadi dalam kalangan masyarakat Melayu kita terutama dalam golongan remaja. Perubahan masa dan teknologi yang semakin canggih menyebabkan berlakunya situasi atau kejadian sedemikian.

Situasi yang dimaksudkan ialah selepas penggunaan kepada sebarang kata adjektif seperti cantik, besar, berat, hitam, putih, tinggi, cerah dan sebagainya diletakkan perkataan “giler” yang menunjukkan kata penguat. Contohnya, “cantik giler, besar giler, dan tinggi giler”. Perkataan tersebut membawa maksud berlebihan iaitu sangat cantik, sangat besar dan sangat tinggi.

 Contoh ayat yang selalu digunakan :
1.     Wah, besar giler rumah banglo tu!
2.     Wah, cantik giler baju kau pakai!
3.      Huh, berat giler beg yang kau bawa ni!

Apabila meluasnya penggunaan perkataan “giler” seperti ini dalam kalangan masyarakat sekarang, maka akan timbullah kesan-kesan negatif pada bahasa Melayu seperti hilangnya istilah-istilah asal bahasa Melayu yang sepatutnya digunakan dalam ayat yang sebenar.










-panggilan nenek-


Minggu Kedua (1)


Nek? Wan? Tok? Opah? Mbah?
Wah! banyaknya panggilan yang kita boleh gunakan untuk memanggil nenek iaitu ibu kepada mak dan ayah kita.

Setiap masyarakat mempunyai panggilan sapaan yang tersendiri bagi menggantikan  kata ganti nama yang ketiga iaitu nenek. Setiap negeri atau kawasan yang berlainan mempunyai kata panggilan yang berlainan. Pelbagai jenis nama panggilan kepada nenek yang kita sayang.

Untuk pengetahuan semua,  di kawasan utara, seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang  iaitu kawasan tempat tinggal saya sendiri lebih kerap menggunakan panggilan “ tok” untuk memanggil nenek.

Manakala di negeri Melaka atau Negeri Sembilan kebanyakannya memanggil “wan” bagi ibu kepada mak atau ayah. Namun, ada sesetengah orang menggunakan panggilan “wan” untuk  memanggil datuk.

Di negeri Johor pula, terutama di kawasan masyarakat Jawa, panggilan “mbah”  kerap digunakan. “Mbah” juga turut digunakan di negeri Sabah. Orang di Perak pula menjadi kebiasaan bagi mereka dengan panggilan “Opah”.

Kesimpulannya : Walaupun mempunyai panggilan yang berbeza namun membawa maksud yang sama iaitu nenek yang amat kita sayangi…;-)

Friday, 15 March 2013

Deras atau laju???

Minggu Pertama (5)

Sedang asyik menyiapkan tugasan yang bertimbun-timbun di ruang tamu, kedengaran teman sebilikku memasang sebuah lagu nasyid yang bertajuk "Menanti Di Alam Barzakh" dinyanyikan oleh kumpulan Far East. 

Bila kedengaran sahaja lagu tersebut di ruangan udara, saya terus meminta kepadanya agar dikuatkan suara lagu tersebut...

" Kayah, cepat kayah...deras kan lagi lagu tu..kak sal suka lagu tu..."kata saya selepas mendengar sayup-sayup  lagu yang baru kedengaran.

" Haa? deras? owh..kayah ingatkan deras tu maksudnya laju..nasib baik kayah tahu maksud kak sal..nak suruh kuatkan suara lagu ni kan?" jawab kayah bersahaja.

" Opss..aha, pandai kayah" balas saya sambil tersenyum...


Deras dan laju sama atau berbeza???

Deras dan laju membawa maksud yang sama namun apabila digunakan di dalam konteks yang berbeza akan menimbulkan makna yang berbeza.

ais kacang dan abc

Minggu Pertama (4) 

Mesti pernah dengarkan tentang ais kacang dan abc ( air batu campur )?
Pada pendapat anda, ada perbezaan tak antara ais kacang dan abc?

Pada suatu hari, saya dan dua sahabat merancang pergi ke sebuah sekolah agama yang berdekatan dengan kawasan kampus. Tujuan kami ke sana untuk menjalankan sebuah kajian yang telah diberikan pensyarah. Disebabkan sekolah agama tersebut terletak berdekatan dengan kampus, kami putuskan untuk berjalan kaki sahaja.


Sedang matahari memancar panas terik serta bahangnya, kami ternampak satu gerai di tepi laluan yang kami lalui. Tanpa berfikir panjang, kaki melangkah laju menuju ke gerai tersebut. Mata kami tertumpu kepada papan tanda menu gerai tersebut. 

Pisang goreng 
Keropok lekor
ABC

Wah!! Alangkah nikmatnya dapat makan pisang goreng, keropok lekor dan disulami dengan minuman yang paling ditunggu-tunggu kami iaitu abc...kami mengambil keputusan untuk berehat sebentar dan mengisi perut yang kosong di gerai tersebut. Sambil menunggu abc dan keropok lekor sampai, berlakulah perbualan antara kami seperti berikut:

Farah     : Sedapnye dapat makan abc tengahari terik cam nie kan???
Aishah   : Aha..betul... terubat rasa perit dan dahaga anak tekak nie...tambah-tambah ada orang tu kan Farah  dah lama teringin nak makan abc nie...(sambil menjeling-jeling ke arah saya)
Sal         : Hehehe..betul-betul..akhirnya dapat juga makan ais kacang ni....eh, nak tanya. Apa beza ais kacang dan abc???
Aishah    : Ais kacang dan abc lain..tak sama.
Sal          : Eh, bukan sama ke ais kacang dengan abc tu? Sebab di tempat Sal, kebanyakan orang di utara akan beranggapan ais kacang dan abc adalah sama...tetapi kebanyakan mereka akan menyebut "aihh kacang" ( ais kacang) berbanding "abc".
Aishah    : Owh..cam tu erk... hehe kalau di tempat sha, ais kacang dan abc tu memang berlainan maksudnya..abc lebih berwarna-warni...ada kacang merah, jagung, cincau dan yang paling istimewanya ada aiskrim...
Farah      : Wah!!!kiranya tak semua tempatla menggunakan perkataan yang sama membawa maksud yang satu. Boleh masuk dalam sosiolinguistik nie..heheheh;-)

Kesimpulannya : Lain tempatnya, lain maksudnya...

Selamat membaca;-)








Thursday, 14 March 2013

Banjar????



Minggu Pertama (3)

Mesti pernah dengar perkataan  "banjar" sebelum ini kan?
Apa pandangan anda mengenai perkataan banjar? Adakah banjar membawa satu maksud sahaja atau mempunyai  banyak makna??

Apabila dengar perkataan banjar, pandangan dan pemikiran saya terus mengingatkan bahawa banjar hanyalah mempunyai satu maksud sahaja iaitu kaum masyarakat  yang berasal dari Indonesia.

Mari saya kongsi serba sedikit apa yang dimaksudkan dengan banjar....;-)


banjar I

baris, deret, jajar; sebanjar 1. sebaris, sederet: ~ pokok nyiur; 2. sl sebaya, seumur; berbanjar berbaris, berderet: kami berdiri ~ di hadapan guru besar; berbanjar-banjar, berbanjaran berbaris-baris, berderet-deret; membanjarkan menyusun berbanjar-banjar: ~ kerusi dengan teratur; banjaran sesuatu yang berderet kedudukannya, barisan, deretan: ~ gunung; B~ Titiwangsa.
Kamus Dewan Edisi Empat

Banjar II

suku bangsa campuran yang berasimilasi daripada Melayu, Jawa, Ngaju, Maayan dan Bukit, yang berasal dari Kalimantan Selatan, Indonesia.
Kamus Dewan Edisi Empat

Kali ini, saya nak kongsi serba sedikit mengenai maksud  banjar II...

Pada hari Rabu yang lalu, di dalam kelas Sosiolinguistik, saya dan rakan-rakan telah bersama-sama berkongsi ilmu mengenai keturunan nenek moyang masing-masing. Ada sahabat saya asalnya dari keturunan jawa, jawa bugis dan sebagainya...Begitu juga dengan saya..saya juga berketurunan dari orang banjar iaitu dari keluarga sebelah ibu saya...nenek saya seorang berketurunan banjar jati. 

Nak tahu lebih lanjut tentang keturunan banjar???;-)

Banjar - satu golongan yang kompleks dan mempunyai sejarah yang tersendiri. Orang banjar  tergolong dalam rumpun bangsa Melayu. Namun begitu, tidak banyak yang mengetahui tentang masyarakat ini.  Berbeza dengan orang Jawa kerana masyarakat ini lebih dikenali walaupun kedua-duanya mempunyai latar belakang penghijrahan yang hampir sama dan berasal dari negara yang sama iaitu Indonesia.

Kebanyakan orang Banjar tinggal di tempat yang lebih kurang sama dengan orang jawa iaitu di daerah Batu Pahat, Johor, daerah Sabak Bernam dan Tanjung Karang, Selangor dan daerah Bagan Datoh di Perak.

Orang banjar yang datang ke Tanah Melayu berasal dari Kalimantan, Indonesia. Mereka yang berhijrah ke Tanah Melayu merupakan petani-petani yang mahir dalam penanaman padi dan juga membuat peralatan pertanian dan senjata.

Ciri-ciri awal orang banjar di Tanah Melayu
·        Fahaman kesukuan
·        Teguh pegangan agama
·        Cara hidup sederhana
·        Berani dan panas baran

Nak belajar bahasa banjar???

Perkataan : Guring
Maksud    : Tidor

Contoh ayat  : Rasinah guring di punduk rumahnya satalah kapanatan saharian.
Maksud ayat : Rasinah tidur di pondok rumahnya selepas penat seharian.

Perkataan : Kulaan
Maksud    :  saudara

Contoh ayat: Kita kulaan sekampung benaran?
Maksud ayat: Kita saudara sekampung betulkan?

Perkataan : Kada
Maksud    : Tidak

Contoh ayat : Kami pun kada tahu jugak.
Maksud ayat : Kami pun tidak tahu juga.


Begitulah antara serba sedikit perkongsian saya tentang keturunan saya yang unik…;-)

Selamat Belajar…