Sunday, 24 March 2013

Papan Tanda Jawi


Minggu Kedua (4)



Adakah papan tanda tersebut sering kali anda jumpa di persekitaran kawasan tempat tinggal anda?
Semestinya jarang sekali untuk kita melihat papan tanda yang dipamerkan di sekeliling kita menggunakan tulisan jawi. Kebanyakannya menggunakan tulisan rumi yang sudah menjadi kebiasaan kita dalam kehidupan seharian.
Namun, kita yang sedang dilanda arus kemodenan ini seharusnya tidak boleh melupakan tulisan jawi iaitu tulisan yang pernah dijadikan sebagai salah satu medan perhubungan atau wadah penyebaran ilmu secara meluas dalam masyarakat orang Melayu pada suatu masa dahulu dan ketika zaman kegemilangan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca.
Pada masa kini, kita boleh lihat penggunaan tulisan jawi amat jarang digunakan dalam penulisan mahupun dalam pentadbiran di negara kita. Disebabkan kurangnya keprihatinan terhadap penggunaan tulisan jawi ini, maka golongan remaja sekarang sudah kurang didedahkan mengenai cara pembacaan dan penulisan tulisan jawi tersebut.



Namun, di sebalik penularan fenomena ini, terselit jua segelintir usaha dari pelbagai pihak yang ingin memartabatkan dan mengekalkan tulisan jawi ini sebagai suatu khazanah negara yang amat bernilai di mata dunia sehingga sekarang.
Antara usaha yang dilakukan oleh pihak berkenaan seperti  penggunaan tulisan jawi di dalam akhbar-akhbar tempatan, mengeluarkan buku dalam tulisan jawi bagi golongan kanak-kanak serta menerapkan pengajaran jawi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Usaha sedemikian amat membantu dalam mengekalkan tulisan jawi ini sehingga zaman akan datang.
Oleh yang demikian, kita sebagai pengganti generasi yang seterusnya haruslah memelihara dan memulihara keistimewaan tulisan jawi ini agar semangatnya hidup sebagai tulisan Al – Quran.

~Kak atau Makcik~


Minggu Kedua (3)

Setiap hari kita berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai tingkat umur serta status sosialnya. Golongan yang terlibat adalah dari yang muda sehingga ke peringkat tua. Setiap peringkat umur mempunyai cara dan nama panggilan yang berbeza bagi menunjukkan tanda hormat dan sopan santun adab orang Melayu. Cerita yang ingin saya kongsi ini mempunyai kaitannya dengan bahasa dan masyarakat orang Melayu kita.

Beginilah ceritanya...

Setelah selesainya kuliah pada petang tersebut,  dua orang sahabat pun  berjalan pulang dari kelas mereka. Dalam perjalanan tersebut,  mereka melihat sebuah gerai yang menjual keropok lekor. Dengan segera, mereka mengambil keputusan untuk singgah sebentar untuk membeli makanan di situ.
“ Kak, ada apa yang dijual di sini?
 “Ada pisang goreng, keropok lekor, bebola ikan adik pilihlah yang mana nak”, kata seorang wanita yang usianya dalam lingkungan 25 tahun ke atas.
“ Bagi saya keropok lekor ni dua ringgit ye makcik”, kata seorang sahabat itu.
Seorang sahabatnya terkejut dengan panggilan “makcik” yang ditujukan kepada wanita tersebut . Lantas, sahabat yang mendengarnya itu, terus berkata,
“ Kak, saya pula nak pisang goreng ni seringgit” sambil tersenyum.
Wanita itu pun menjawab dengan  penuh sopan. “ Baiklah, sebentar ye.”
Setelah selesai membungkus pisang goreng dan keropok lekor, wanita tersebut menghulurkannya kepada kedua-dua sahabat tersebut sambil berkata,
“ Nah, ni pisang goreng dan keropok lekor. Semuanya tiga ringgit. Terima kasih ye. Jual”.
“Sama-sama. Beli ye kak”, jawab mereka.
Kesimpulannya: Kadang-kadang sesetengah situasi dan keadaan sukar untuk kita tentukan dari segi lingkungan usia dan panggilan statusnya. Jadi, kita seharusnya bijak menyesuaikan panggilan namanya berdasarkan pengetahuan yang kita sedia ada dan keadaan persekitaran.

Renung-renungkan;-)



Saturday, 16 March 2013

"giler"



Minggu Kedua (2)

Sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat Melayu menggunakan bahasa slanga dalam kehidupan seharian. Menurut Kamus Dewan, bahasa slanga ialah kosa kata yang tidak baku, tidak standard, berubah-ubah dan secara umum berbeza dengan kosa kata lainnya. Slanga kerap digunakan oleh golongan remaja atau kelompok sosial tertentu untuk berkomunikasi sesama mereka dan hanya difahami oleh kelompok itu sahaja.

Sebagai contoh situasi yang telah memberi saya idea untuk saya coret pada kali ini ialah, contoh perkataan slanga iaitu “ giler”. Kini, penggunaan perkataan “giler” semakin menjadi-jadi dalam kalangan masyarakat Melayu kita terutama dalam golongan remaja. Perubahan masa dan teknologi yang semakin canggih menyebabkan berlakunya situasi atau kejadian sedemikian.

Situasi yang dimaksudkan ialah selepas penggunaan kepada sebarang kata adjektif seperti cantik, besar, berat, hitam, putih, tinggi, cerah dan sebagainya diletakkan perkataan “giler” yang menunjukkan kata penguat. Contohnya, “cantik giler, besar giler, dan tinggi giler”. Perkataan tersebut membawa maksud berlebihan iaitu sangat cantik, sangat besar dan sangat tinggi.

 Contoh ayat yang selalu digunakan :
1.     Wah, besar giler rumah banglo tu!
2.     Wah, cantik giler baju kau pakai!
3.      Huh, berat giler beg yang kau bawa ni!

Apabila meluasnya penggunaan perkataan “giler” seperti ini dalam kalangan masyarakat sekarang, maka akan timbullah kesan-kesan negatif pada bahasa Melayu seperti hilangnya istilah-istilah asal bahasa Melayu yang sepatutnya digunakan dalam ayat yang sebenar.










-panggilan nenek-


Minggu Kedua (1)


Nek? Wan? Tok? Opah? Mbah?
Wah! banyaknya panggilan yang kita boleh gunakan untuk memanggil nenek iaitu ibu kepada mak dan ayah kita.

Setiap masyarakat mempunyai panggilan sapaan yang tersendiri bagi menggantikan  kata ganti nama yang ketiga iaitu nenek. Setiap negeri atau kawasan yang berlainan mempunyai kata panggilan yang berlainan. Pelbagai jenis nama panggilan kepada nenek yang kita sayang.

Untuk pengetahuan semua,  di kawasan utara, seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang  iaitu kawasan tempat tinggal saya sendiri lebih kerap menggunakan panggilan “ tok” untuk memanggil nenek.

Manakala di negeri Melaka atau Negeri Sembilan kebanyakannya memanggil “wan” bagi ibu kepada mak atau ayah. Namun, ada sesetengah orang menggunakan panggilan “wan” untuk  memanggil datuk.

Di negeri Johor pula, terutama di kawasan masyarakat Jawa, panggilan “mbah”  kerap digunakan. “Mbah” juga turut digunakan di negeri Sabah. Orang di Perak pula menjadi kebiasaan bagi mereka dengan panggilan “Opah”.

Kesimpulannya : Walaupun mempunyai panggilan yang berbeza namun membawa maksud yang sama iaitu nenek yang amat kita sayangi…;-)

Friday, 15 March 2013

Deras atau laju???

Minggu Pertama (5)

Sedang asyik menyiapkan tugasan yang bertimbun-timbun di ruang tamu, kedengaran teman sebilikku memasang sebuah lagu nasyid yang bertajuk "Menanti Di Alam Barzakh" dinyanyikan oleh kumpulan Far East. 

Bila kedengaran sahaja lagu tersebut di ruangan udara, saya terus meminta kepadanya agar dikuatkan suara lagu tersebut...

" Kayah, cepat kayah...deras kan lagi lagu tu..kak sal suka lagu tu..."kata saya selepas mendengar sayup-sayup  lagu yang baru kedengaran.

" Haa? deras? owh..kayah ingatkan deras tu maksudnya laju..nasib baik kayah tahu maksud kak sal..nak suruh kuatkan suara lagu ni kan?" jawab kayah bersahaja.

" Opss..aha, pandai kayah" balas saya sambil tersenyum...


Deras dan laju sama atau berbeza???

Deras dan laju membawa maksud yang sama namun apabila digunakan di dalam konteks yang berbeza akan menimbulkan makna yang berbeza.

ais kacang dan abc

Minggu Pertama (4) 

Mesti pernah dengarkan tentang ais kacang dan abc ( air batu campur )?
Pada pendapat anda, ada perbezaan tak antara ais kacang dan abc?

Pada suatu hari, saya dan dua sahabat merancang pergi ke sebuah sekolah agama yang berdekatan dengan kawasan kampus. Tujuan kami ke sana untuk menjalankan sebuah kajian yang telah diberikan pensyarah. Disebabkan sekolah agama tersebut terletak berdekatan dengan kampus, kami putuskan untuk berjalan kaki sahaja.


Sedang matahari memancar panas terik serta bahangnya, kami ternampak satu gerai di tepi laluan yang kami lalui. Tanpa berfikir panjang, kaki melangkah laju menuju ke gerai tersebut. Mata kami tertumpu kepada papan tanda menu gerai tersebut. 

Pisang goreng 
Keropok lekor
ABC

Wah!! Alangkah nikmatnya dapat makan pisang goreng, keropok lekor dan disulami dengan minuman yang paling ditunggu-tunggu kami iaitu abc...kami mengambil keputusan untuk berehat sebentar dan mengisi perut yang kosong di gerai tersebut. Sambil menunggu abc dan keropok lekor sampai, berlakulah perbualan antara kami seperti berikut:

Farah     : Sedapnye dapat makan abc tengahari terik cam nie kan???
Aishah   : Aha..betul... terubat rasa perit dan dahaga anak tekak nie...tambah-tambah ada orang tu kan Farah  dah lama teringin nak makan abc nie...(sambil menjeling-jeling ke arah saya)
Sal         : Hehehe..betul-betul..akhirnya dapat juga makan ais kacang ni....eh, nak tanya. Apa beza ais kacang dan abc???
Aishah    : Ais kacang dan abc lain..tak sama.
Sal          : Eh, bukan sama ke ais kacang dengan abc tu? Sebab di tempat Sal, kebanyakan orang di utara akan beranggapan ais kacang dan abc adalah sama...tetapi kebanyakan mereka akan menyebut "aihh kacang" ( ais kacang) berbanding "abc".
Aishah    : Owh..cam tu erk... hehe kalau di tempat sha, ais kacang dan abc tu memang berlainan maksudnya..abc lebih berwarna-warni...ada kacang merah, jagung, cincau dan yang paling istimewanya ada aiskrim...
Farah      : Wah!!!kiranya tak semua tempatla menggunakan perkataan yang sama membawa maksud yang satu. Boleh masuk dalam sosiolinguistik nie..heheheh;-)

Kesimpulannya : Lain tempatnya, lain maksudnya...

Selamat membaca;-)








Thursday, 14 March 2013

Banjar????



Minggu Pertama (3)

Mesti pernah dengar perkataan  "banjar" sebelum ini kan?
Apa pandangan anda mengenai perkataan banjar? Adakah banjar membawa satu maksud sahaja atau mempunyai  banyak makna??

Apabila dengar perkataan banjar, pandangan dan pemikiran saya terus mengingatkan bahawa banjar hanyalah mempunyai satu maksud sahaja iaitu kaum masyarakat  yang berasal dari Indonesia.

Mari saya kongsi serba sedikit apa yang dimaksudkan dengan banjar....;-)


banjar I

baris, deret, jajar; sebanjar 1. sebaris, sederet: ~ pokok nyiur; 2. sl sebaya, seumur; berbanjar berbaris, berderet: kami berdiri ~ di hadapan guru besar; berbanjar-banjar, berbanjaran berbaris-baris, berderet-deret; membanjarkan menyusun berbanjar-banjar: ~ kerusi dengan teratur; banjaran sesuatu yang berderet kedudukannya, barisan, deretan: ~ gunung; B~ Titiwangsa.
Kamus Dewan Edisi Empat

Banjar II

suku bangsa campuran yang berasimilasi daripada Melayu, Jawa, Ngaju, Maayan dan Bukit, yang berasal dari Kalimantan Selatan, Indonesia.
Kamus Dewan Edisi Empat

Kali ini, saya nak kongsi serba sedikit mengenai maksud  banjar II...

Pada hari Rabu yang lalu, di dalam kelas Sosiolinguistik, saya dan rakan-rakan telah bersama-sama berkongsi ilmu mengenai keturunan nenek moyang masing-masing. Ada sahabat saya asalnya dari keturunan jawa, jawa bugis dan sebagainya...Begitu juga dengan saya..saya juga berketurunan dari orang banjar iaitu dari keluarga sebelah ibu saya...nenek saya seorang berketurunan banjar jati. 

Nak tahu lebih lanjut tentang keturunan banjar???;-)

Banjar - satu golongan yang kompleks dan mempunyai sejarah yang tersendiri. Orang banjar  tergolong dalam rumpun bangsa Melayu. Namun begitu, tidak banyak yang mengetahui tentang masyarakat ini.  Berbeza dengan orang Jawa kerana masyarakat ini lebih dikenali walaupun kedua-duanya mempunyai latar belakang penghijrahan yang hampir sama dan berasal dari negara yang sama iaitu Indonesia.

Kebanyakan orang Banjar tinggal di tempat yang lebih kurang sama dengan orang jawa iaitu di daerah Batu Pahat, Johor, daerah Sabak Bernam dan Tanjung Karang, Selangor dan daerah Bagan Datoh di Perak.

Orang banjar yang datang ke Tanah Melayu berasal dari Kalimantan, Indonesia. Mereka yang berhijrah ke Tanah Melayu merupakan petani-petani yang mahir dalam penanaman padi dan juga membuat peralatan pertanian dan senjata.

Ciri-ciri awal orang banjar di Tanah Melayu
·        Fahaman kesukuan
·        Teguh pegangan agama
·        Cara hidup sederhana
·        Berani dan panas baran

Nak belajar bahasa banjar???

Perkataan : Guring
Maksud    : Tidor

Contoh ayat  : Rasinah guring di punduk rumahnya satalah kapanatan saharian.
Maksud ayat : Rasinah tidur di pondok rumahnya selepas penat seharian.

Perkataan : Kulaan
Maksud    :  saudara

Contoh ayat: Kita kulaan sekampung benaran?
Maksud ayat: Kita saudara sekampung betulkan?

Perkataan : Kada
Maksud    : Tidak

Contoh ayat : Kami pun kada tahu jugak.
Maksud ayat : Kami pun tidak tahu juga.


Begitulah antara serba sedikit perkongsian saya tentang keturunan saya yang unik…;-)

Selamat Belajar…